MARANG: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin enggan melayan laporan yang mendakwa kediamannya ‘diserbu’  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pada Selasa lalu.

Menurut Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), sudah terlalu banyak fitnah yang telah ditaburkan kepadanya.

Dalam masa sama, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut akan mengambil tindakan termasuk saman terhadap mereka yang berbuat demikian.

“Saya nak maklumkan sudah banyak fitnah ditaburkan terhadap saya. Saya tidak mahu menjawab kepada
semua perkara fitnah, berita-berita telah pun disebarkan (secara) meluas dalam negara kita.

“Yang pastinya, saya akan ambil tindakan bila sampai masanya Insya-Allah. Saya sudah minta pegawai saya untuk melihat semua sama ada berita daripada yang rasmi, yang tidak rasmi… saya hanya kumpulkan dahulu ini (dan) saya sudah ada maklumat,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Marang, di Binjai Rendah, di sini, malam tadi.

Dalam masa sama, Hamzah menegaskan, beliau juga akan membuktikan apa yang berlaku itu hanya fitnah untuk memburukkan nama pemimpin PN.

Beberapa hari lalu, media melaporkan kediaman Ketua Pembangkang itu diserbu dan digeledah oleh pegawai dari LHDN.

Pada Jumaat pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak dimaklumkan mengenai serbuan oleh LHDN di kediaman Hamzah.

Kata Anwar, serbuan dan penggeledahan oleh pegawai LHDN di rumah Hamzah merupakan urusan agensi berkenaan selaku badan penyiasat.